mytheory10
mytheory10
Kuala Muda ke Acheh : Jauhnya Sempadan Nasionalisme
Dua minggu ini jadi minggu-minggu paling sibuk dalam hidup saya. Teramat,tersangatlah sibuk hinggakan naik pinar mata.
Suasana semakin teruk sebenarnya. Itulah hakikat. Kerna kesan suatu bencana alam hanya boleh sampai maksimum selepas 10 hari bencana, bukanlah sehari selepas berlakunya bencana.
Apa yang mahu saya cerita di sini tiada dalam akhbar. Tapi itu bukan bererti ia spekulasi ataupun omong-omong kosong. Ia kisah benar. Kisah di sebalik sebuah tayangan drama tsunami.
____________________________________________
Cerita Satu
Beberapa hari yang lalu saya telah menulis dengan begitu emosional sekali tentang saudara-mara kita di Kuala Muda. Dan amat sedikit saya sentuh tentang nasib saudara-mara kita yang jauh sedikit di Acheh. Telah saya sebutkan sebelumnya bahawa batas nasionalisme membuatkan kita lupa bahawa Acheh itu hanyalah di seberang lautan. Bagi penduduk pantai Barat Malaysia, taklah Acheh itu lagi jauh daripada Sabah dan Sarawak.
Sejujurnya saya tak berniat untuk menyambung tulisan 'tsunami' yang berdarah ini sampai dua bahagian. Kerna sejurus saja pulang daripada Kuala Muda itu saya dah cukup letih. Letih fizikal, mental dan jiwa melihatkan yang terlihat dan merasai yang terselindung. Begitu banyak yang hilang dan dalam kehilangan itu, terpaksa pula mereka menerima kehilangan-kehilangan lain yang datang tak terduga.
Namun selepas dikerah semula bekerja, saya jadi ghairah untuk menulis yang tepat, benar dan jelas. Saya mahu rakyat Malaysia menukar mata emosi dan ghairah mereka kepada mata rasional dan empati.
Kita sedang bergembira! Tak lah kasar dan silap jika saya katakan rakyat Malaysia umumnya berpesta dengan kedatangan tsunami ini. Semua mahu menolong, mahu membantu, sekurang-kurangnya berbuat sesuatu tanpa mengetahui apa sebenarnya yang patut dilakukan. Dan begitu ramai sekali yang begitu gembira berteori, mengulas dan memberi pandangan mereka tanpa mereka melihat situasi sebenar.
Saya bangga dilahirkan sebagai rakyat sebuah negara yang prihatin. Tapi bangga saya tak membantu apa-apa dalam meringankan derita mangsa-mangsa tsunami. Kerna 'sikap ingin tahu' dan 'ingin membantu' kita yang terlalu tinggi, semuanya berlumba-lumba 'ingin menjadi baik' tanpa memuhasabah terlebih dahulu : apakah yang boleh aku lakukan untuk MENOLONG?
Menolong itu dengan mengambil beban dan dibuang. Jika kita tolong ambil batu dan letakkan di atas bahu orang, itu namanya MENYUSAHKAN.
Apa yang akan saya sambung di bawah bukanlah kerna saya ini seorang penyokong parti politik yang fanatik, atau seorang teologi yang totok. Saya menulis sebagai manusia. Melihat dengan mata insan, bukan dewa.
.............................
Atas nama bantuan, isilah borang parti Keris. Kerna parti Keris itu pemegang wang daripada kerajaan. Tak mengapa kita memaksa mereka kerna kita ingin membantu mereka. Jika mereka bukan sebahagian daripada kita, kenapa perlu dibantu? Kesempatan yang ada bukankah untuk dimanfaatkan?
Datanglah beramai-ramai ke tempat kejadian dan mari kita riuh-rendah di sana. Kita dekati rumah yang terbalik dan bangsal yang runtuh. Ambil gambar sekeping dua (untuk kenangan katanya) dan kita halakan video camera kita merata-rata. Ya, ini tapak pesta. Oleh kerna tiada malam sambutan tahun baru, mari kira rayakan di sini.
Singgahlah di rumah-rumah penempatan sementara dan sekolah-sekolah. Di sana akan kita jumpa saksi hidup tragedi ini. Kita tanya mereka sampai akar apa yang berlaku. Kita dengar dengan penuh minat dan sesekali menyampuk. Kita tekankan perkara-perkara sakit yang mereka ingin lupa. Atas nama 'cuba memahami', mari kita sakitkan hati mereka sekali lagi.
Ini suatu bala: kata mereka. Maka sebutkanlah kuat-kuat di depan nelayan-nelayan itu. Kelak dengan mata berair mereka akan bertanya pada engkau: Maka kenapa yang berjoget berdansa di kabaret-kabaret sana masih segar?
(Manusia punya rasa. Kalian punya pegangan, saya faham. Namun jangan sampai pegangan keliru kalian jadi beban)
________________________________________________
Cerita Dua
Saya dikhabarkan oleh teman bahawa sudah 40 000 mayat disahkan terkorban di Acheh. 10% daripada keseluruhan populasi Serambi Mekah itu. Itu yang disahkan. Tak dicampur, didarab lagi dengan yang 'bakal' kerna dalam keadaan teruk seperti ini, mangsa sekunder boleh jadi lebih ramai daripada mangsa langsung.
Terlalu banyak sebenarnya yang boleh diceritakan tentang Acheh ini. Tentang masjid tua yang masih utuh walau dilanda tsunami, tentang keadaannya yang lebih teruk daripada Nagasaki dan Hiroshima, tentang itu dan tentang ini. Memang terlampau banyak.
Cukuplah jika saya menyentuh sesuatu yang belum atau sikit-sikit disentuh orang.
Pertamanya perihal mati. Semuanya sebenarnya terlalu tragis. Bayangkan saudara tinggal di Kampung Baru, belajar di Universiti Malaya. Berlaku satu bencana dan semuanya mati kecuali anda seorang yang keluar kampung. Sudah tiada bukti langsung bahawa satu masa dulu pernah wujud Kampung Baru, hanya anda satu-satunya. Itulah yang di alami seorang abang saya di sini. Ada beberapa kampung di Acheh yang hilang terus kesemua generasinya. Tempat itu lenyap terus daripada peta dunia.
Keduanya isu bantuan. Yang terpenting sebenar-benarnya adalah air bersih. Itulah yang paling penting bahkan lebih penting daripada makanan dan ubat-ubatan. Kerna air bersih itu bukan saja penting untuk meneruskan komposisi manusia yang banyaknya terdiri daripada air, malahan penting untuk mengubati manusia dan juga mengelakkan merebaknya lagi bencana. Harapnya ada pihak sedar akan hakikat ini.
Ada yang terkejut bilamana dikhabarkan bahawa ada usaha missonary untuk memesongkan anak-anak Acheh daripada Islam. Hakikatnya sudah beribu-ribu rakyat Afghanistan dan Iraq yang bertukar agama selepas penaklukan Amerika. Dan kini mereka akan menggunakan peluang bencana tsunami ini pula untuk menarik lebih ramai ke arah Kristian.
Missionary Kristianlah satu-satunya 'orang agama' yang bekerja di Acheh. Walaupun Persatuan Agama Buddha ada menghantar bantuan, begitu juga NGO-NGO berasaskan Islam namun mereka ke sana atas nama 'membantu'. Sedangkan missionary Kristian datang khusus bersama tentera Amerika dan badan bukan kerajaan Barat untuk menyebarkan agama Kristian. Kalian akan dibayar sekian-sekian rupiah, atau disumbangkan sekian-sekian harta benda jika kalian 'masuk' Kristian. Sijil pengesahan boleh dicetak di situ juga kerna komputer dan printer sekarang kecil-kecil dan mudah dibawa. Cekap dan cepat pula bekerja.
Tidak hairan jika mereka berjaya membawa pulang setakat seratus dua anak yatim di Acheh. Perhubungan yang terputus tidak membolehkan Jakarta mengetahui seramai mana, atau si polan bin si polan apa yang masih hidup. Maka 'penculikan' anak-anak ini akan dibolehkan dengan sijil 'kematian'.
Ia tidak payah, bukanlah mustahil dan bukan kerja rumit. Harap-harapnya dalam kita tak lepas-lepas mengucapkan lafaz simpati dan 'Alangkah hebatnya Allah', kita tidak lupa berdoa supaya nikmat iman kekal dalam diri rakyat Acheh. Kerna sesungguhnya iman itu lebih tinggi darjatnya daripada nyawa. Dalam masa yang sama berusaha sedayanya untuk membantu pada saluran-saluran yang ada.
Ini bukanlah kisah 'sudah jatuh ditimpa tangga' sahaja. Ia lebih besar dan bermakna daripada itu.
Kerna Saidina Ali pernah berkata: Sesungguhnya kejahatan yang terancang mampu memusnahkan kebenaran yang tidak teratur.
Wallahu a'lam.
1 Comments:
That's a great story. Waiting for more. http://www.stationeryset.info questions home refinance dlp 3 chip projectors Milf fuck trailers clips fioricet air purifier freshener pine Xanax info drug test amateur doggy style Stop smoking hypnlosis telephone hypnosis lose weight Yasmin birth libido http://www.voyeurweb3.info/Bikini.html alabama bextra law suit Fitness chick Canadian imitrex rx erotic tickling stories Prices granite countertop ca 2005 chrysler 300 bentley grill rims Freezers commercial Fat guy at a baseball game my fioricet fiorcet
Post a Comment
<< Home